Friday, October 29, 2010

MINGGU 14: REFLEKSI KESELURUHAN

Assalamualaikum wbt

Setelah 14 minggu menghadapi kuliah muzik tradisional ini akhirnya sampailah di penghujung kuliah. Walaupun ada diantara kelas saya yang telah tamat tapi tidak bagi subjek ini masih lagi diteruskan. Dan saya dipertanggungjawabkan sebagai seorang pelajar untuk menghadiri kuliah ini. Syukur alhamdulillah kerana begitu juga rakan-rakan yang lain masih menghadirkan diri.

Sepanjang mengikuti kursus ini saya dapat banyak pengetahuan baru. Pengalaman dan ilmu yang diperolehi amat berharga bagi saya. Kerja lapangan yang ditugaskan kepada kami melalui tajuk Kuda Kepang telah membuka minda saya berkenaan tarian kuda kepang tersebut. Saya bersama dengan rakan-rakan yang lain bekerjasama membuat kajian berkenaan dengan kerja lapangan tersebut. Pendapat saya kerja lapangan seperti ini adalah bagus untuk memberikan keyakinan dan rasa tanggungjawab melaksanakan tugas yang diamanahkan. Pelajar akan berasa yakin dan berdikari dengan membuat temu bual bagi mendapatkan maklumat.

Melalui tugasan menggunakan blog, ini adalah pertama kali saya menceburi alam blogger melalui subjek ini. Pada mulanya saya akui memang sukar dan saya sedikit give up untuk mengambil subjek ini. Namun setelah melalui minggu-minggu seterusnya saya telah yakin dan sedikit mahir untuk menulis blog. Idea yang beku telah mula mengalir deras setiap kali saya menulis Jurnal Refleksi. Alhamdulillah setelah percubaan menulis blog untuk subjek ini, saya juga telah mula membuat blog sendiri kerana timbulnya minat menulis dan menerokai dunia blogger.

Amat mudah kerana kami boleh menghantar tugasan dengan mudah. Pada keadaan masa kini yang serba canggih, walaupun saya berada di mana-mana, tugasan menulis jurnal refleksi boleh dihantar melalui blog yang telah ada. Saya tidak perlu risau dan mengambil masa untuk pergi ke bilik pensyarah menghantar tugasan.

Namun ada juga kelemahan dalam subjek ini kerana ada kalanya jika line internet tidak begitu baik menyebabkan tugasan sukar dihantar. Sewaktu cuti atau pulang ke kampung pula, bagi pelajar yang tidak mempunyai kemudahan internet, tugasan sukar dihantar. Mereka juga perlu ke cyber cafe untuk melayari internet. Hal seperti ini memakan kos belanja.

Bagi saya seorang pelajar yang mengambil major Sejarah yang kurang arif dengan dunia muzik, agak sukar bagi saya mengikuti sesetengah kuliah yang diajarkan. Muzik Tradisional ini adalah Pengayaan Diri bagi saya. Maaf jika saya katakan untuk subjek pengayaan diri adalah agak berat ubtuk saya ikuti. Tugasan setiap minggu perlu dihantar dan perlu menjawab kuiz, ditambah lagi dengan peperiksaan akhir semester yang membimbangkan.

Bagi saya jika terus mahu mengadakan peperiksaan akhir semester sekalipun, soalan perlulah dalam bentuk objektif. Bagi pelajar muzik yang wajib mengambil subjek ini mungkin mereka telah biasa dengan dunia muzik. Tapi bagi saya adalah sedikit berat untuk subjek pengayaan diri. Saya cadangkan supaya masa akan datang subjek major dan pengayaan diri Muzik Tradisional ini diasingkan.

Ini kerana ada ketika pensyarah menerangkan sesuatu berkaitan muzik seperti not-not dan sebagainya hanya pelajar muzik sahaja yang faham. Mungkin mereka telah biasa dengan perkataan tersebut dan telah mempelajarinya. Berlainan dengan saya dan beberapa rakan lain yang bukan daripada Major Muzik ada ketika terpinga-pinga dengan penerangan pensyarah.

Jika mahu bertanya dengan lebih lanjut apa yang kurang difahami itu saya sedikit berasa rendah diri dan mungkin mengganggu kuliah yang akan diajarkan pensyarah. Faktor masa juga mempengahruhi saya untuk bertanya dengan lebih lanjut.

Untuk pembentangan kumpulan pula keseluruhan adalah baik bagi saya. Cadangan pensyarah untuk merakam setiap pembentangan adalah satu idea yang baik kerana kami akan lebih yakin dan bersungguh untuk membuat pembentangan. Sedikit sebanyak setelah melihat sendiri cara dan gaya pembentangan yang dibuat, kami dapat mengubah dan memperbaiki kelemahan sewaktu berada di hadapan orang lain.

Walau bagaimanapun, saya agak terkilan kerana ada sesetengah kumpulan yang kurang menepati masa yang ditetapkan. Ada kalanya terlebih masa yang di hadkan. Kelas kami adalah bermula pada jam 11 am hingga 1 pm. Ada kumpulan mengambil masa sehingga melebihi jam 1 pm. Pada pelajar yang tidak mempunyai kelas pada masa seterusnya mungkin mereka tidak mempunyai masalah. Namun bagi saya dan beberapa rakan lain agak menyukarkan kami. Ini kerana kami terpaksa berjalan jauh untuk ke kelas seterusnya.

Walaupun kelas kami bermula pada jam 2 pm, masa yang satu jam itulah kami berkejar-kejar untuk solat dan makan tengahari. Ada kalanya saya terlewat untuk masuk ke kelas jam 2 pm.

Secara keseluruhannya, saya amat beruntung kerana dapat mengambil subjek ini. Pensyarah yang mesra membuat saya tidak bosan untuk ke kelas. Sedikit kekurangan dan kritikan saya bukanlah menyatakan keburukan pensyarah dan subjek ini. Tetapi ikhlas memberikan pandangan dan bagi memperbaiki kekurangan pada masa akan datang.

Sekian sahaja..
Teruskan Membaca...

JURNAL REFLEKSI: MINGGU 13


Assalamualaikum wbt

Minggu ke-13 ini kami telah mempelajari berkenaan dengan tarian singa.

Tarian singa adalah sebahagian daripada tarian tradisional dalam adat warisan masyarakat Cina, yang mana penari akan meniru pergerakan singa dengan menggunakan kostum singa.

Sejarah singa dianggap sebagai pelindung dalam kebanyakan adat orang Asia, terutamanya bagi mereka yang berketurunan orang Cina. Tarian singa menjadi adat di negara China,Taiwan, Jepun, Korea, Thailand, dan Vietnam. Setiap negara tersebut mempunyai corak dan bentuk tarian yang berbeza.

Dua tarian singa yang amat popular ialah "Tarian Singa Utara" dan "Tarian Singa Selatan".

Tarian Singa Utara adalah berasal dari bahagian utara China yang menggunakan tarian ini sebagai hiburan diraja. Kostum singa mereka menggunakan warna merah, jingga dan kuning (hijau bagi kostum singa betina). Tarian Singa Utara adalah lebih banyak pergerakan akrobatik dan bertujuan sebagai hiburan.

Tarian Singa Selatan lebih membawa perlambangan alam sekitar. Tarian ini selalu dipersembahkan sebagai istiadat upacara membuang semangat jahat dan upacara meminta tuah. Tarian Singa Selatan menggunakan pelbagai warna dan kepala kostum mempunyai mata yang lebih besar daripada Singa Utara, dan mempunyai cermin serta sebatang tanduk di hadapan kepalanya.
Teruskan Membaca...

Sunday, October 24, 2010

JURNAL REFLEKSI: MINGGU KE-12

ASSALAMUALAIKUM WBT dan SALAM SEJAHTERA

Sedar tidak sedar sudah 12 minggu kita di kuliah muzik tradisional ini. Pada minggu ke 12 ini tajuk pembelajaran ialah mengenai Gendang 24 Musim.

Agak pelik dan jarang saya dengar. Ini adalah pertama kali saye mendengar mengenai seni tradisi ini. Mungkin sebelum ini saya pernah melihat tetapi tidak pernah pula untuk mengambil tahu apa nama dan bagaimana ianya bermula. Kuliah pada kali ini telah membuka peluang kepada saya untuk mendekati seni muzik ini.

Seni muzik ini bermula di Malaysia. Pengasasnya berketutunana Cina iaitu Encik Chen Wei Chong berasal dari Johor. Ilham penghasilan seni ini adalah berasaskan satu musim pertanian di negara China. Musim utama iaitu Panas, Sejuk, Luruh dan Bunga dipecahkan kepada 24 bahagian lain.

Para pemaian adalah terdiri daripada lelaki sahaja. Setakat ini tiada lagi pemain wanita yang menceburi bidang ini. Mereka akan memakai kostum lelaki Cina.

24 buah drum digunakan dikenali dengan nama gendang shigu yang digunakan dalam tarian singa. Gendang diperbuat dari kulit kerbau atau lembu.

Dalam seni ini konsep Ji Qie diterapkan dalam seni muzik ini.

Kini, terdapat lebih dari 100 pasukan Gendang 24 musim di Malaysia. Mereka terdiri daripada pelajar sekolah rendah, menengah dan institut pengajian tinggi. Pada 16 September 2007, Gendang 24 musim membuat permohonan kepada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan agar menyenaraikan persembahan seni baru ini sebagai khazanah warisan budaya negara.
Teruskan Membaca...

Monday, October 11, 2010

JURNAL REFLEKSI: MINGGU 11


Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

Minggu ke 11 ini kami tibalah masa pembentangan kumpulan bertajuk Wayang Kulit. Sebelum pembentangan bermula, kumpulan pembentang telah berjaya menarik perhatian kami semua dengan mempersembahkan demo wayang kulit dimainkan. Kami berasa sangat bertuah kerana diberikan peluang untuk menyaksikan persembahan tersebut. Ini adalah pertama kali bagi saya untuk menyaksikan bagaimana wayang kulit dimainkan. Sangat menarik dan lucu persembahan yang ditunjukkan. Bukan saya sahaja malah saya yakin masih ramai rakan-rakan sekelas lain yang buat pertama kali baru menyaksikan persembahan wayang kulit tersebut.

Terdapat pelbagai jenis wayang kulit yang masing-masing mempunyai perbezaan dari segi watak dan rupa patung. Wayang kulit terdapat di beberapa negeri di Malaysia yang kesemuanya berbeza. Wayang kulit tersebut juga mencerminkan budaya masyarakat tersebut.

Jenis-jenis wayang kulit:

i) Wayang Kelantan (disampaikan dalam bahasa Melayu loghat
Kelantan dan berasas kepada pengaruh Patani).
ii) Wayang Melayu (disampaikan dalam bahasa Melayu berpengaruh
Jawa)
iii) Wayang Purwo (disampaikan dalam dalam bahasa Jawa dan diselit
dengan dengan bahasa Melayu tempatan).
iv) Wayang Gedek (lazimnya disampaikan dalam bahasa Thai dan
bahasa Melayu loghat tempatan).

Pada asasnya kesemua bentuk atau jenis wayang kulit yang terdapat di Semenanjung Malaysia mempunyai pengaruh-pengaruh samada dari Jawa atau Patani (Selatan Thai) tetapi dalam perkembangannya semua pengaruh ini telah mengalami perubahan dan penyesuaian mengikut penerimaan dan konteks masyarakat tempatan.

Terdapat 3 perbezaan yang terdapat dalam wayang kulit iaitu dari segi bentuk patung, muzik wayang kulit dan dalang. Patung dari jenis wayang kulit yang berpengaruh Jawa mempunyai kedua sendi tangan dan dapat digerakkan tetapi pada patung wayang kulit Kelantan hanya sendi sebelah hadapan patung itu sahaja yang digerakkan. Wayang Kelantan dan wayang gedek adalah diiringi oleh satu kumpulan muzik paluan dan sebatang serunai. Wayang Melayu pula diiringi oleh kumpulan muzik paluan tradisional dan rebab manakala wayang purwo diiringi oleh satu kumpulan gamelan. Semua dalang dalam setiap jenis persembahan wayang kulit adalah dibantu
oleh dua orang yang dipanggil pengantin melainkan dalam wayang gedek.


Teruskan Membaca...

Thursday, September 30, 2010

JURNAL REFLEKSI: MINGGU 10


ASSALAMUALAIKUM DAN SELAMAT HARI RAYA..

Kuliah masih diteruskan walaupun dalam suasana raya lagi. Tidak mengapa kerana saya dan rakan-rakan masih bersemangat untuk ke kelas Muzik Tradisional setiap hari Rabu ini.

Apa yang lebih penting yang saya mahu kongsikan ialah berkenaan dengan pembentangan pada minggu ini. "Orkestra Cina Moden" (OCM). Ya, itulah tajuk pembentangan kumpulan minggu ini. Agak menarik kerana saya sebagai pelajar berbangsa Melayu teruja untuk menyelami seni muzik bangsa lain. Maklum sahaja kita hidup dalam satu negara yang berbilang bangsa dan agama tetapi dikukuhkan dengan 1 Malaysia.


Terdapat satu alat muzik Cina yang telah lama wujud dikenali sebagai 'Jiahu'. Ianya diperbuat daripada tulang binatang. Masyarakat Cina percaya bunyi yang harmoni merupakan keselarasan alam semesta.

Akibat terpengaruh dengan muzik Eropah iaitu melalui Orkestra Simfoni dan Konsert Opera Barat maka telah wujudlah pula Orkestra Cina Moden ini. Muzik kontemporari popular Cina merupakan hasil perpaduan muzik tradisional Cina dengan muzik popular.

OCM ini terkenal di Singapura. Dari segi alat muzik, Banyak alat muzik Cina yang telah diubahsuai daripada alat muzik tradisional seperti 'Diyinsheng' (Sheng bass besar) dan 'Zhongyin' (alto) serta 'Suona'.Untuk Orkestra Cina, perkusi adalah istilah yang merujuk kepada campuran alat muzik Barat dan China. Kebanyakan alat muzik OCM ini dipengahruhi dari Barat.



OCMM atau hua yue tuan di Malaysia telah didokumentasikan oleh Tan Sooi Beng (1983). Seperti di China, orkestra ini dibuat dari campuran alat muzik Barat dan alat muzik tradisional Cina. Muziknya menggabungkan unsur polifoni barat dengan 'scale' melodi China.


Teruskan Membaca...

Friday, September 24, 2010

JURNAL REFLEKSI: MINGGU 9


ASSALAMUALAIKUM WBT

Kuliah minggu ke 9 ini lain daripada kuliah sebelumnya. Pada permulaan kuliah, kami telah berpeluang untuk menyaksikan demo daripada Dekan Fakulti Muzik sendiri yang mengetuai persembahan tersebut. Sangat menarik apabila saya telah berpeluang menyaksikan alat muzik tradisional yang begitu asing bagi saya dimainkan. Pelbagai alat yang dimainkan tetapi alat muzik rebab yang saya berasa tidak sabar untuk mereka persembahkan.

Persembahan yang dibuat selama lebih satu jam. Dekan Fakulti Muzik kemudian telah menceritakan pengalamannya sewaktu membuat lawatan dan persembahan di beberapa buah negara seperti Singapura dan Beijing. Saya tidak sangka bahawa seni muzik tradisional ini boleh mendapat tempat hinggakan ke luar negara. Sungguh membanggakan kerana saya adalah salah seorang pelajar yang telah mengikuti subjek seni muzik tradisional walaupun hanya subjek pengayaan diri sahaja.

Saya telah memasang angan-angan sekiranya saya diberikan peluang untuk menceburkan diri lebih cenderung dalam mempelajari seni muzik dan bagaimana alat-alat muzik tradisional dimainkan. Saya harap ssuatu hari nanti saya juga boleh bersama-sama dan mungkin menjadi salah seorang wakil Malaysia membuat persembahan yang membawa seni muzik tradisional di serata dunia.

Pembentangan pada minggu ini ialah berkaitan dengan Mak Yong. Walaupun saya agak kurang faham dengan penyampaian salah seorang pembentang, namun saya berasa kagum dengan kesungguhan mereka. Semua ahli pembentang adalah terdiri daripada kaum Cina. Berlaku sedikit masalah komunikasi penyampaian mereka. Namun semua itu tidak menjadi penghalang.





Saya ingin mengucapkan TAHNIAH kepada ahli pembentang kerana walaupun mereka adalah berbangsa Cina dan bumiputera, namun mereka berani untuk menyahut cabaran melaksanakan tugasan yang diamanahkan. Tajuk tugasan mereka ialah berkaitan dengan Mak Yong yang kebiasaanya seni ini dimainakan oleh orang-orang Melayu.

Bagi menarik perhatian dan tumpuan rakan sekelas, ahli pembentang telah memberi peluang kepada kami untuk melakukan sendiri demo bagaimana tarian mengadap rebab dimainkan. Satu peluang dan pengalaman berharga bagi kami semua kerana dapat mengiramakan sendiri bagaimana persembahan permulaan Mak Yong dimainkan.

Sama seperti seni tradisional lain, Mak Yong telah mengalami pembaharuan mengikut arus kemodenan. Dari segi pakaian Mak Yong telah mengalami perubahan mengikut fesyen moden.

Dari segi alat muzik pula, rebab memainkan peranan penting dan sangat dihormati. Ini dapat dibuktikan apabila permulaan tarian adalah dengan menghadap rebab.

Irama Mak Yong adalah mengikut gongngan iaitu gendang anak dan ibu. Hampir semua rentak muzik Mak Yong bertempo agak perlahan.
Teruskan Membaca...

Friday, September 10, 2010

Teruskan Membaca...

Monday, September 6, 2010

JURNAL REFLEKSI: MINGGU 8

Assalamualaikum wbt
Menjelang beberapa hari lagi seluruh umat Islam akan menyambut Syawal. Namun tugasan mingguan membuat jurnal refleksi tetap di laksanakan. Pada minggu ke 8 ini, pembentangan adalah bekenaan dengan Menora.
Menora ialah sejenis drama tradisioanal Melayu yang dikatakan dipengaruhi oleh seni darama Siam. Menora telah menjadi popular dinegeri Perlis, Kedah dan Kelantan. Tidak saya nafikan bahawa pembentangan pada minggu ini semakin menarik. Kami dihidangkan dengan bahan-bahan dan pengetahuan baru mengenai Menora. Seni tradisi ini adalah berasal daripada Songkla, Thailand. Saya semakin memahami sejarah asal wujudnya Menora ini apabila kumpulan pembentang berdaya kreatif dengan melakonkan bagaimana sejarah wujudnya tarian tersebut. Satu usaha yang sangat di banggakan. Tahniah kepada pasukan pembentang!
Walaupun dikatakan Menora ini berasal daripada Thailand, namun pada masa kini banyak pembaharuan dalam kesenian ini adalah daripada Malaysia. Terdapat juga banyak peniruan daripada Thailand dari segi pakaian dan sebagainya.
Kesenian ini boleh dibahagikan kepada beberapa tujuan iaitu untuk kesenian dan persembahan, perubatan dan amalan ritual. Mahkota yang dipakai oleh penari yang dikenali sebagai Kecopong atau Cha Da adalah berbeza di Tahiland dan Malaysia. Di Malaysia Kecopong nya mempunyai telinga yang tidak terdapat pada Kecopong Thailand. Manakala pakaian bagi Menora adalah berubah mengikut peredaran zaman. Banyak pembaharuan telah dilakukan dalam Menora.
Pada persembahan Menora ada juga yang memakai topeng. Mengikut daripada pendapat mengatakan bahawa mereka mahu menyembunyikan wajah hodoh daripada dilihat. Bagi tujuan ritual akan diadakan upacara buka panggung yang memerlukan beberapa bahan yang diperlukan untuk tujuan pengerasnya.
Teruskan Membaca...

Wednesday, August 25, 2010

JURNAL REFLEKSI: MINGGU 7

Assalamualaikum wbt dan Salam sejahtera semua.. =)


Pada minggu ke-7 Rabu, 25 hb Ogos 2010 bertempat di bilik kuliah Fakulti Muzik, maka tibalah giliran kumpulan kami untuk melakukan pembentangan. Tajuk yang telah diamanahkan kepada kumpulan kami ialah berkaitan dengan Kuda Kepang. Alhamdulillah syukur kepada Tuhan kerana kumpulan kami dapat melaksanakan tugasan yang telah dipertanggungjawabkan dengan baik. Lega rasanya setelah selesai menyiapkan tugasan. Perasaan gembira juga wujud kerana sedikit sebanyak kami sekumpulan dapat berkongsi ilmu dengan rakan-rakan lain berkaitan hasil kajian yang telah kami lakukan.


Gambar 1: Ketua kuda kepang berwarna hitam


Pembentangan kumpulan pertama ialah bertajuk Keroncong. Istilah 'Keroncong' itu sendiri membawa maksud yang pelbagai. Namun apa yang mahu dijelaskan pada pembentangan kumpulan satu ini ialah muzik keroncong.


Pada permulaan pembentangan pertama, kumpulan ini telah menceritakan serba sedikit berkenaan dengan sejarah keroncong. Muzik keroncong telah dibawa oleh orang Portugis sewaktu penjajahan yang dilakukan di Asia Tenggara. Keroncong telah muncul hasil daripada gabungan gamelan oleh masyarakat Jawa dan alat muzik Barat. Manakala di Malaysia, muzik keroncong mula masuk pada

Gamelan degung merupakan degung dilihat hampir sama dengan muzik keroncong kerana beberapa aspek yang hampir sama. Yang membezakannya ialah muzik degung mempunyai cara yang teratur dan jarang berubah. Berlainan dengan keroncong di mana pemain bebas mengubahnya.

Video 1: Muzik Keroncong

~Selesai satu tugasan~ =)






Teruskan Membaca...

Wednesday, August 18, 2010

JURNAL REFLEKSI : MINGGU 6


Salam Ramadhan dan salam sejahtera kepada semua =)

Kuliah pada minggu ini adalah berkaitan dengan Mak Yung dan Kompang. Seni Mak Yung begitu asing bagi saya dan saya agak kurang berminat dengannya jika dibandingkan dengan kompang yang rata-rata semua orang akan mengenalinya.


~Mak Yung~


Gambar 1 : Penari Mak Yong


Walaupun Mak Yung merupakan satu seni muzik tradisional, namun kesenian ini adalah satu-satunya yang di iktiraf oleh UNESCO. Penghargaan ini adalah satu penghormatan yang besar kepada seni warisan tradisional. Terima kasih kepada UNESCO kerana keprihatinan mereka dalam menghargai seni muzik tradisional.

Jika dilihat secara kasar, seni Mak Yung yang berasal daripada Patani ini adalah sama seperti Menora, Mekmulung dan Jikey. Hal ini adalah kerana ianya tergolong dalam satu kategori yang sama iaitu seni lakon. Walaupun dilihat agak sama tetapi apa yang membezakannya adalah berdasarkan kepada identiti dan keperluan dramatik yang dimilikinya. Dalam persembahan Mak Yung, bentuk seni lakon yang digunakan adalah sangat kuno kerana masih mengekalkan lagenda dan mitos.

Kesenian ini semakin popular dan tersebar luas termasuklah Semenanjung Malaysia dan kawasan sekitarnya. Mak Yung dipersembahkan bukan sahaja sebagai tujuan persembahan malahan untuk tujuan ritual bagi penyembuhan penyakit dan persembahan sebagai sembah guru. Perbezaan yang dapat dilihat antara tujuan persembahan dan ritual adalah dari segi pentas persembahan.

  • Ritual~ Aras panggung sama dengan tanah ( Tiada pentas)
  • Persembahan ~ Lantai panggung beberapa kaki dari atas tanah

Cerita asal Mak Yung bertajuk Dewa Muda yang merupakan satu cerita rakyat. Menjelang abad ke-20 peranan utama diambil alih oleh wanita. Terdapat beberapa watak dalam Mak Yung iaitu:

  • Pak Yung dan Pakyung Muda (Watak Utama)
  • Mak Yung dan Puteri Mak Yung (Raja perempuan)
  • Peran Tua dan Peran Muda (Pengasuh)
  • Tok Wak (ahli nujum dan tukang)

Rebab merupakan satu alat muzik yang penting dalam Mak Yung kerana bukan sahaja fungsinya sebagai alat muzik malahan merupakan semangat bagi seni ini. Perhormatan terhadap rebab boleh dilihat apabila lagu Mak Yung akan menghadap rebab sebagai simbol penghormatan terlebih dahulu. Selain rebab, terdapat juga alatan lain seperti sepasang gendang, tetawak dan rebab 3 tali disamping dengan alatan sampingan seperti serunai, geduk dan canai.

Bentuk dalam pengalunan lagu Mak Yung akan ditentukan oleh sistem gongan yang dikawal oleh tetawak. Manakala iramanya pula adalah secara meningkah. Hampir keseluruhan lagu Mak Yung bertempo perlahan.

~Kompang~

Gambar 2 : Kompang


Alatan yang hampir sama dengan hadrah ini dikatakan berasal daripada Arab di Asia Barat. Terdapat pelbagai panggilan untuk kompang seperti Dufuf, Daf, Duf, Tar atau Bendir. Manakala di Indonesia ianya dikenali sebagai terbang atau rebana. Terdapat pelbagai fungsi kompang. Kebiasaanya kompang akan dimainkan dalam acara perkahwinan khususnya orang Melayu. Seni kompang semakin mendapat tempat apabila dimainkan bagi tujuan menyambut pemimpin terhormat.

Lagu yang dimainkan kebiasaanya akn mengikut negara asalnya iaitu Bahasa Arab. Sebagai contoh Selawat Memuji Rasullullah saw. Permainan ini tersebar daripada peranan pedagang yang berdagang ke Nusantara dan akhirnya sampai ke Tanah Melayu akibat berlakunya imigrasi daripada Jawa.


Adat permainan kompang sangat dititik beratkan. Antara adatnya ialah:

  • Pakaian
  • Tidak boleh mentelentangkan kompang
  • Tidak boleh melambung kompang
  • Tidak boleh meletakkan muka kompang ke lantai

Terdapat dua struktur dalam alat ini iaitu belulang yang diperbuat daripada kulit kambing betina dan juga belulalang paluh dari kayu nangka. Saye tertanya pada mulanya, "kenapa mesti menggunakan kulit kambing betina? Tidak bolehkan seandainya menggunakan kulit kambing jantan atau lembu"? Persoalan terjawab kerana kulit kambing adalah lebih sesuai dan kulit kambing betina adalah lebih lembut.

Walaupun saya sudah biasa mendengar dan melihat kompang dimainkan, namun masih ada yang tidak saya ketahui dan peka sebenarnya. Jika dihayati, alunan kompang sebenarnya mempunyai pelbagai jenis. Antaranya ialah, kompang.

  • Hadrah
  • Johor/ jawa
  • Eizhar (Selangor)
  • Kelalang (Melaka)

Saiz kompang yang dimainkan adalah mengikut tahap umur. Semakin tinggi umur seseorang semakin besar saiz kompangnya. Saiz yang paling besar ialah 37.5 cm dan 40 cm bagi orang dewasa. Dalam kuliah minggu ini juga saya telah belajar cara memegang kompang yang betul semasa menghasilakn bunti 'pak' dan 'bung'.


Bukan sahaja saiz yang berbeza tetapi cara pukulan juga adalah berbeza. 3 jenis pukulan iaitu:

  • Melalu- memainkan rentak asas
  • Menyilang-rentak silihan kepada rantak melalu
  • Meningkah- penghias rentak antara melalu dan menyilang

Pukulan pertama adalah untuk 'mula', kemudian pukulan 'lagu' dan akhir sekali ialah 'mati' menandakan lagu akan berakhir.

Pada akhir kuliah, sekali lagi pensyarah kami telah memberikan peluang untuk membuat praktikal setelah teori dipelajari. Kali ini kompang menjadi pilihan. Teruja rasanya setelah lama tidak bermain diberikan peluang mencuba. Terima kasih kepada pensyarah tersayang! hehe.. =p




Video 1 : Kompang

~Alunan kompang mengingatkan zaman remajaku =) ~

Teruskan Membaca...

Thursday, August 12, 2010

MINGGU 5 : JURNAL REFLEKSI

ASSALAMUALAIKUM WBT DAN SALAM RAMADHAN =)

Pada kuliah minggu kelima ini, tajuk pembelajaran kami ialah berkaitan Gamelan dan Caklempong. Muzik gamelan sudah menjadi kebiasaan bagi saya namun saya kurang mengetahui berkenaan dengan caklempong. Ini kerana sewaktu zaman persekolahan menengah, sekolah saya mempunyai persatuan gamelan sendiri. Jadi saya pernah mendengar sendiri secara langsung bagaimana gamelan dimainkan. Lagu popular yang dimainkan ialah 'Timang Burung'.

GAMELAN

Perkataan 'gamel' ialah membawa makna pukul atau alat tukul. Sama seperti bagaimana muzik gamelan itu diamainkan secara dilabuh atau dipukul. Sesi permulaan kuliah kami ditayangkan video berkenaan gamelan Bali. Gamelan Bali dimainkan secara terbuka di suatu kawasan. Kebiasaanya muzik gamelan Bali ini akan diturut sertakan dengan acara keagamaan. Kebiasaanya muzik gamelan akan dimainkan bersama dengan wayang kulit Jawa ataupun kuda kepang.

Muzik gamelan ini hanya lengkap dimainkan jika secara ensembel. Walau bagaimanapun, muzik gamelan ini boleh juga dipersembahkan secara tersendiri. Alat gamelan pertama yang telah dicipta ialah gong. Jika dilihat dalam ensembel gamelan itu sendiri, gong merupakan satu alat yang penting bagi mengharmonikan muzik gamelan. Alat muzik yang dibuat daripada perunggu adalah lebih tahan jika dibandingkan dengan lain.

Gamelan merupakan satu seni muzik tradisional yang terkenal di seluruh dunia walaupun sejarah asalnya ialah dari Indonesia. Walaupun terdapat persamaan gamelan Indonesia dengan gamelan daripada negara lain, namun cara penyusunan alat nya adalah lebih kurang sama. Terdapat dua jenis gamelan iaitu Gamelan Melayu dan Gamelan Jawa.

Bagi Gamelan Melayu adalah dikategorikan dalam muzik bentuk tarian utama. Gamelan ini mempunyai nama pelbagai seperti Gamelan Terengganu dan Joget Gamelan. Tarian yang dimaksudkan ialah Tarian Asyik. Gamelan Melayu dan Jawa mula dipisahkan apabila adanya penciptaan lagu baru dan sistem tuning, instrumentasi dan melodi. Set alatan gamelan ini adalah lebih mudah dan mempunyai 7 jenis.




Sama seperti Gamelan Melayu, Gamelan Jawa juga merupakan muzik bentuk tarian utama. Seni muzik ini berasal daripada Jawa Tengah. Muzik Gamelan Jawa ini biasa dimainkan dengan mengiringi tarian seperti Kifrah, Serimpi Lilin, Kupu-kupu dan Cakil. Alat gamelan ini juga boleh dimainkan dengan mengiringi barongan dan kuda kepang. Gamelan Jawa ini adalah popular di Johor. Set alatan muzik gamelan Jawa adalah lebih banyak dan agak kompleks. Kesemuanya mempunyai 9 jenis alatan.





Terdapat beberapa perbezaan antara Gamelan Jawa dan Gamelan Terengganu. Contohnya ialah gong kempol yang dimainkan oleh Gamelan Jawa pada detik kedua pada gatra kedua akhir sebelum gong menghabiskan satu pusingan lagu. Manakala bagi Gamelan Terengganu pula, terdapat sesetengah lagu dimana gong kempol dimainkan pada detik pertama.

Muzik gamelan ini tidak mementingkan notasi dan lagu lama tidak dicatat. Pembelajaran muzik gamelan ini adalah ringkas yang dilakukan secara pendengaran bermula daripada mudah kepada lebih kompleks. Sistem pengunaan nomber atau dikenali 'Sistem Kepatihan' masih digunakan hingga sekarang bagi memudahkan pembelajaran muzik gamelan ini.

Dalam muzik gamelan, ianya memerlukan kerjasama antara setiap pemain alat. Kemahiran muzikal dan teknikal penting dalm pengendalian alatan. Ini kerana tekstur gamelan adalah secara polifoni dan bergerak dalam satu bentuk bulatan.


CAKLEMPONG

Caklempong juga dikenali sebagai tak lempong atau talempong. Muzik ini berasal daripada Minangkabau dan boleh didapati di Daerah Lenggeng, Kuala Pilah dan Jelebu. Caklempong ini terdapat dalam drama tarian randai.

Terdapat 7 jenis alat dimainkan dalam caklempong iaitu:

- Bonang, Gereteh, Tingkah, Sauwa/ Saua, Gendang Ibu dan Anak, Bangsi, dan Serunai.



serunai

Sauwa

Berbanding dengan gamelan, caklempong menggunakan alatan seakan-akan sama fungsinya. Contohnya ialah Bonang, Gereteh, Tingkah dan Sauwa. Gereteh mempunyai dua lapisan.





Pada akhir kuliah minggu ini, kami telah diberikan peluang untuk bermain muzik gamelan. Pembelajaran teori akan lebih berkesan jika kita adanya praktikal. Terima kasih pensyarah kami yang telah membuka peluang pada kami semua untuk mencuba sendiri bagaimana gamelan dimainkan. =)


~Teori + Praktikal = Pembelajaran berkesan~

Teruskan Membaca...

Thursday, August 5, 2010

MINGGU 4: JURNAL REFLEKSI


ASSALAMUALAIKUM DAN SELAMAT SEJAHTERA SEMUA =)

Sedar atau tidak sekarang sudah masuk minggu ke empat kuliah kita. Permulaan kuliah sangat bagus serta dapat menangkap perhatian daripada seluruh kelas. Ini kerana pendekatan bijak pensyarah yang telah memancing perhatian pelajar dengan beberapa video yang menarik bertajuk 'Shadow Land'. Selepas melihat daripada apa yang ditayangkan dapatlah kami membuat kesimpulan tajuk pembelajaran minggu ini ialah 'Wayang Kulit'.

Wayang kulit? Apakah sebenarnya wayang kulit ini? Saya tidak dapat membicarakan lebih lanjut sebelum saya berada dalam kuliah minggu ini. Sepanjang pengalaman saya, saya tidak pernah melihat secara live persembahan wayang kulit. Saya tidak tahu sama ada masih wujudkah lagi wayang kulit ini. Apa yang saya tahu wayang kulit sekadar satu seni warisan tradisional yang tidak membawa kesan menarik pada saya. Jika masih wujud, baguslah dan jika sudah tiada saya tidak merasa satu kerugiaan.

Namun itu hanyalah satu tanggapan dan perasaan saya yang sudah dibuang jauh dari kotak pemikiran saya! Bermulanya kuliah minggu ini saya berasa sangat teruja untuk melihat persembahan wayang kulit jika ada. Saya akan berasa sangat rugi sekiranya saya melepaskan peluang untuk secara langsung melihat dengan mata kepala saya sendiri satu seni tradisional yang sangat berharga ini. Saya amat berharap sekiranya pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris mahu mengadakan persembahan wayang kulit di sini. Mungkin saya adalah salah seorang daripada bakal-bakal guru yang akan berebut-rebut untuk melihat persembahan tersebut.
Seandainya pihak universiti dapat merealisasikan hasrat saya ini, saya percaya ini akan memberikan satu pengalaman dan ilmu baru kepada bakal-bakal guru yang akan menjadi pendidik di sekolah nanti.

Objektif kuliah pada minggu ini adalah jenis wayang kulit, alat-alat muzik wayang kulit dan perbezaan wayang kulit. Sewaktu melihat objektif ketiga kuliah iaitu perbezaan, saya terfikir sejenak, "Adakah perbezaan dalam wayang kulit?". Jawapan bagi persoalan saya ini terjawab selepas pensyarah meneruskan kuliahnya. Sememangnya ada perbezaan dalam wayang kulit!
Rasanya jika saya tidak mengambil kursus ini, saya akan menilai tiada perbezaan dalam wayang kulit. Jika dilihat hanya sama sahaja. Melibatkan seorang pencerita disebalik layar bersama patung-patung dan cerita rekaannya.

Ternyata saya silap sama sekali. Jadi saya perlu mengemaskini pemikiran baru saya bahawa setiap wayang kulit itu adalah berbeza. Hasil pembelajaran saya ialah sebenarnya terdapat empat jenis wayang kulit yang setiapnya mempunyai perbezaan tersendiri.
Yang pertama ialah wayang kulit jawa ataupun lebih dikenali sebagai purwa. Jika namanya wayang kulit jawa maka mestilah asalnya daripada Indonesia bukan? Walau bagaimanapun, ianya telah dipersembakan oleh orang yang berketurunan Jawa di Johor dan Selangor. Wayang kulit ini masih mengekalkan ciri wayang kulit purwa asli iaitu epik Ramayana dan Mahabrata. Muzik gamelan jawa akan diiringi sewatu persembahannya. Penyampaian cerita walaupun dalam bahasa Jawa namun juga diselitkan dialek Melayu tempatan. Patung-patungnya pula menyerupai seperti wayang kulit Kelantan.

Posisi patung wayang kulit Jawa




Seterusnya 8alah wayang kulit Gedek yang berasal daripada Thailand. Wayang kulit ini popular di Perlis dan Kedah. Terdapat beberapa perbezaan wayang kulit ini dengan wayang kulit Jawa. Patung yang digunakan berlainan dengan wayang kulit lain kerana hanya wayang kulit ini patungnya posisi hadapan.


Posisi muka patung.


Manakala penceritaan nya pula banyak diselitkan babak-babak popular masa kini. Perbezaan ketara ialah penggunaan alatan. Bagi wayang kulit Jawa, mereka menggunakan muzik gamelan yang tidak mempunyai serunai dan geduk. Tetapi untuk wayang kulit Gedek pula alat muzik serunai digunakan. Dengan mendengar penggunaan serunai atau tidak maka kita akan dapat membezakan kedua wayang kulit ini.

Manakala bagi wayang kulit Melayu banyak mempunyai persamaan dengan wayang kulit Purwa ataupun Jawa. Penceritaanya banyak dipengahruhi cerita panji. Dari segi penggunaan alat muzik, rebab dimainkan dalam persembahan wayang kulit ini. Suatu perkara baru yang saya sendiri tidak pernah meneliti ialah pergerakan tangan bagi patung- patung ini. Dari segi pergerakan, tanganya akan digunakan kedua-duanya. Ini berbeza dengan wayang kulit Gedek di mana hanya satu pergerakan tangan sahaja. Jika saya tidak diberitahu oleh pensyarah tentang pergerakan ini, saya sama sekali tidak menyedari perbezaan ini.




Selain daripada itu, kedudukan kepala patung juga memainka peranan terhadap watak patung tersebut. Jika mendongak ke atas dianggap sombong, jika menunduk ke bawah berwatak baik. Manakala jika raut wajah yang bengis adalah watak jahat.


Watak baik


Watak jahat

Watak sombong

Yang terakhir ialah wayang kulit Kelantan. Wayang kulit ini mempunyai persamaan dengan wayang kulit Gedek kerana mempunyai pengaruh daripada Siam. Selain itu pergerakan tanganya juga sama iaitu hanya satu sendi yang digerakkan sahaja.



~Hargai seni warisan kita~

Teruskan Membaca...

Wednesday, July 28, 2010

MINGGU 3 : JURNAL REFLEKSI

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera =)

Alhamdulillah saya masih berkesempatan untuk terus mnegikuti kuliah untuk minggu ketiga. Rasa tidak sabar untuk datang ke kuliah setiapa kali tibanya hari Rabu. Betulkah ni?? "Iya..sememangnya saya berasa seronok untuk mengikuti setiap kali kuliah subjek ini" =)
Ini kerana, kecetekan ilmu saya terhadap seni muzik tradisional sedikit sebanyak akan bertambah dengan hanya menghadiri kuliah selama dua jam sahaja!

Jadi saya hanya perlu memberikan tumpuan selama dua jam tersebut. Tambahan lagi tumpuan memang harus diberikan sepenuhnya kerana pensyarah telah memasang video merakam sesi P&P. Secara tidak langsung, student tidak boleh lah hendak bermain-main sewaktu P&P...hehe, bernas sungguh idea itu! Tahniah-tahniah!

Baiklah, saya mahu berkongsi apa yang saya pelajari pada minggu ketiga ini. Minggu ini pembelajaran yang difokuskan ialah kaedah klasifikasi muzik tradisional, kategori muzik tradisional dan ciri-ciri muzik tradisional.

Pertama saya mahu membicarakan tentang kaedah klasifikasi muzik tradisional. Saya mahu menyentuh tentang perspektif adaptasi dan idiosinkretik. Adaptational (penyesuaian) dikenali juga sebagai berorganik. Maksud berorganik disini ialah benda yang hidup. Sama seperti muzik!
Sebelum ini saya tidak tahu bahawa muzik itu sebenarnya hidup. Namun, ketahuilah bahawa muzik itu hidup pada hakikatnya. Di sini apa yang dimaksudkan dengan hidup ialah sebenarnya muzik itu berkembang dan dipengaruhi dengan budaya masyarakat setempat. Alatan yang dimainkan masih sama namun mempunyai perbezaan dari segi muzik dimainkan. Ini kerana sememangnya lumrah manusia akan mempunyai naluri untuk mengubah sesuatu dan tidak terkecualilah dengan muzik.

Sebagai contoh ialah ghazal. Terdapat perbezaan antara ghazal pathi di Penang dan ghazal Johor. Walaupun namanya ialah ghazal namun cara penyampaian muzik itu adalah berlainan. Perkara baru yang menarik perhatian saya ialah pemain bagi ghazal pathi itu disebut 'ustaz'. Sebelum ini saya hanya tahu panggilan ustaz hanya untuk golongan agama, namun panggilan tersebut digunakan untuk penyanyi ghazal. Kemungkinan mereka itu bertutur dalam bahasa Arab. Oleh kerana itu mereka diberikan gelaran sebegitu. Menarik!

Manakala idiosyncratic pula merujuk kepada gaya atau cara tersendiridan sulit. Kefahaman saya sewaktu pembelajaran ialah alatan masih kekal sama namun apa yang membezakan penyesuaian alatan yang dicipta mengikut jenis bahan. Contohnya alat muzik di China, India dan Barat adalah berlainan.

Terdapat tiga klasifikasi alat muzik di barat iaitu perkusi, bertali, dan tiupan. Perkataan baru saya pelajari ialah 'Perkusi'. Ini merujuk kepada alatan yang tergolong dalam kumpulan membranofon.

Seterusnya ialah ciri-ciri muzik tradisional. Sebelum ini kefahaman saya terhadap muzik klasik ialah muzik zaman dahulu tanpa mengetahui sebenarnya muzik juga mempunyai taraf perbezaan status nya. Terdapat dua jenis tradisi muzik iaitu tradisi besar (budaya istana/klasik) dan tradisi kecil (budaya rakyat). Walaubagai manapun, kedua tradisi ini telah bercampur. Muzik rakyat ini tidak mudah berubah dan kaedah pembelajaran muzik mengikut peniruan/pemodelan. Ini berlainan dengan muzik klasik yang didominasi golongan istana yang lebih sistematik kerana secara transmisi intelek iaitu melalui penulisan. Asas sejarah muzik ini juga adalah lebih kukuh.

Terdapat enam ciri muzik tradisional Malaysia iaitu bentuk seni lakon utama, bentuk tarian utama, ensembel genderang, vokal dan instrumental solo, ensembel sosial popular, dan esembel lain. Muzik esembel genderang ialah muzik yang stand alone atau mengiringimuzik bentuk tarian utama. Saya kurang jelas mengenai bahagian ini kerana banyak contoh yang telah disediakan pensyaraj tidak boleh di tayangkan kerana masalah perkhidmatan internet. Namun saya akan membuat pembacaan sendiri berdasarkan nota diberikan pensyarah. Terima kasih En. Amran! =)

~Semakin kita mempelajari muzik, semakin kita mengenali keindahannya~
Teruskan Membaca...

Thursday, July 22, 2010

MINGGU 2: JURNAL REFLEKSI

Assalamualaikum wbt

Pembelajaran kuliah pada minggu kedua ini sangat menarik. Walaupun terdapat sedikit pembelajaran yang masih kurang jelas namun bagi saya banyak perkara baru yang telah saya perolehi.

Jika sebelum ini saya hanya sekadar berminat mendengar muzik sahaja tanpa mengetahui alatan apa yang dimainkan untuk mengahasilkan lagu tersebut. Pengetahuan saya berkenaan muzik terlalu cetek dan kurang berminat untuk mendalami apa itu sebenarnya muzik.

Namun setelah berada didalam kuliah selama dua jam saya telah mempelajari lima perkara iaitu berkaitan dengan soundscape, budaya muzik, sejarah, kategori alat muzik dan konsep atau struktur muzik.

Dalam sesi pendengaran kami dikehendaki untuk menumpukan kepada beberapa bunyi yang ada di dalam rakaman yang diperdengarkan. Di sini saya belajar untuk fokus kepada bunyi yang ada dan secara tidak langsung dapat melatih kepekaan dan tumpuan saya pada suatu bunyi yang dihasilkan.

Saya beranggapan sebelum ini bahawa sesuatu satu genre muzik adalah sama di semua negara. Contohnya hip hop yang ada di Malaysia adalah sama di kesemua negara lain. Namun sebaliknya muzik itu adalah berlainan mengikut negara masing- masing walaupun kadang kala kita dengar muzik itu hampir- hampir sama sahaja.

Sebenarnya budaya sesuatu kawasan itu juga boleh dikenali dengan muzik. Ini bertepatan dengan makna Budaya Muzik iaitu penglibatan menyeluruh berkaitan seperti idea, aksi, institusi, dan material (peralatan, pakaian dan sebagainya). Budaya muzik itu sendiri boleh dikenalpasti melalui genre nya. Melalui genre juga kita boleh mengenalpasti sub-budaya muzik.

Tahukah anda bahawa melalui beberapa jenis bunyi kita boleh menghasilkan satu bentuk muzik?! Jika kita pandai menggabungkan bunyi yang kita dengar disekeliling kita maka boleh menghasilkan muzik yang sangat menarik. Jadi tidak mustahil jika anda dengar satu bunyi yang dianggap mengganggu namun jika digabungkan bunyi-bunyi tersebut akan terhasilah muzik yang sedap untuk didengar.








Melalui sejarah muzik pula, tanpa kita sedari muzik itu sebenarnya mempunyai persamaan di beberapa buah negara. Misalnya, dalam konteks sejarah muzik tradisional di Malaysia terdapat persamaan alatan dan struktur muzik yang dipengahruhi unsur Timur Tengah, India dan China.
Hal ini kerana interaksi sosiobudaya menghasilkan pelbagai genre.

Setelah berada pada kuliah kedua ini saya mengetahui terdapat empat kategori alat muzik. Yang pertama ialah Kordofon, Membranofon, Aerofon, Idiofon. Sebelum ini saya tidak tahu ada kategori alatan seperti ini. Bagi saya semua alatn adalah sama iaitu dikenali 'alat muzik'. Namun pembelajaran kuliah ini membuka fikiran dan menambah ilmu pengetahuan saya.

Perkara yang terakhir dipelajari dalam kuliah ini ialah berkaitan dengan struktur atau konsep muzik. Dalam konsep ini terdapat enam kategori iaitu melodi, ritma/meter, harmoni, bentuk atau forum, notasi, ekspresi/tafsir. Walaupun saya kurang memahami lebih mendalam dalam konsep muzik ini namun saya cuba memperbaiki kelemahan dengan mencari maklumat melalui pembacaan lain.

Melodi mempunyai pic. Sebelum ini saya hanya tahu dan mendengar tentang pic melalui tontonan program realiti seperti Akademi Fantasia yang para pengkritik akan menyetuh tentang pic. Seperti apa yang pernah dikatakan oleh pengkritik "Piching lari". Saya hanya mendengar apa komen pengkritik namun tidak faham apa yang ingin disampaikan.
Tetapi setelah mempelajari pada kuliah ini sedikit sebanyak saya juga boleh membincangkan berkaitan pic jika menonton program seperti itu lagi. Tidak lah saya dikatakan seperti burung kakak tua yang hanya tahu berkata-kata namun tidak memahami apa makna kata-katanya.

Pembaharuan yang berkesan bagi saya ialah, setelah mengetahui sedikit sebanyak saya mula menghayati muzik yang saya dengar dengan lebih fokus. Apabila mendengar sesuatu lagu, saya akan cuba untuk mengesan kategori alat muzik yang digunakan.

~ Muzik itu indah jika dihayati ~
Teruskan Membaca...

Thursday, July 15, 2010

BIODATA

Nama

NURSUHADAH BINTI MOHAMAD RAMDZAN

No Matriks

D20081032686

Program

PENDIDIKAN SEJARAH

Kumpulan

C

Semester

LIMA (5) SEMESTER 1 2010/2011

Subjek

SMP 2252 – MUZIK TRADISIONAL

Email

syuz1529@gmail.com

Alamat Blog

http://smt2252nursuhadah.blogspot.com/

Negeri Asal

JOHOR

Foto

Teruskan Membaca...
 

Blok Pelajar Kumpulan A

Blok Pelajar Kumpulan B

Blok Pelajar Kumpulan C

SMT2252 NURSUHADAH Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template