Friday, October 29, 2010

MINGGU 14: REFLEKSI KESELURUHAN

Assalamualaikum wbt

Setelah 14 minggu menghadapi kuliah muzik tradisional ini akhirnya sampailah di penghujung kuliah. Walaupun ada diantara kelas saya yang telah tamat tapi tidak bagi subjek ini masih lagi diteruskan. Dan saya dipertanggungjawabkan sebagai seorang pelajar untuk menghadiri kuliah ini. Syukur alhamdulillah kerana begitu juga rakan-rakan yang lain masih menghadirkan diri.

Sepanjang mengikuti kursus ini saya dapat banyak pengetahuan baru. Pengalaman dan ilmu yang diperolehi amat berharga bagi saya. Kerja lapangan yang ditugaskan kepada kami melalui tajuk Kuda Kepang telah membuka minda saya berkenaan tarian kuda kepang tersebut. Saya bersama dengan rakan-rakan yang lain bekerjasama membuat kajian berkenaan dengan kerja lapangan tersebut. Pendapat saya kerja lapangan seperti ini adalah bagus untuk memberikan keyakinan dan rasa tanggungjawab melaksanakan tugas yang diamanahkan. Pelajar akan berasa yakin dan berdikari dengan membuat temu bual bagi mendapatkan maklumat.

Melalui tugasan menggunakan blog, ini adalah pertama kali saya menceburi alam blogger melalui subjek ini. Pada mulanya saya akui memang sukar dan saya sedikit give up untuk mengambil subjek ini. Namun setelah melalui minggu-minggu seterusnya saya telah yakin dan sedikit mahir untuk menulis blog. Idea yang beku telah mula mengalir deras setiap kali saya menulis Jurnal Refleksi. Alhamdulillah setelah percubaan menulis blog untuk subjek ini, saya juga telah mula membuat blog sendiri kerana timbulnya minat menulis dan menerokai dunia blogger.

Amat mudah kerana kami boleh menghantar tugasan dengan mudah. Pada keadaan masa kini yang serba canggih, walaupun saya berada di mana-mana, tugasan menulis jurnal refleksi boleh dihantar melalui blog yang telah ada. Saya tidak perlu risau dan mengambil masa untuk pergi ke bilik pensyarah menghantar tugasan.

Namun ada juga kelemahan dalam subjek ini kerana ada kalanya jika line internet tidak begitu baik menyebabkan tugasan sukar dihantar. Sewaktu cuti atau pulang ke kampung pula, bagi pelajar yang tidak mempunyai kemudahan internet, tugasan sukar dihantar. Mereka juga perlu ke cyber cafe untuk melayari internet. Hal seperti ini memakan kos belanja.

Bagi saya seorang pelajar yang mengambil major Sejarah yang kurang arif dengan dunia muzik, agak sukar bagi saya mengikuti sesetengah kuliah yang diajarkan. Muzik Tradisional ini adalah Pengayaan Diri bagi saya. Maaf jika saya katakan untuk subjek pengayaan diri adalah agak berat ubtuk saya ikuti. Tugasan setiap minggu perlu dihantar dan perlu menjawab kuiz, ditambah lagi dengan peperiksaan akhir semester yang membimbangkan.

Bagi saya jika terus mahu mengadakan peperiksaan akhir semester sekalipun, soalan perlulah dalam bentuk objektif. Bagi pelajar muzik yang wajib mengambil subjek ini mungkin mereka telah biasa dengan dunia muzik. Tapi bagi saya adalah sedikit berat untuk subjek pengayaan diri. Saya cadangkan supaya masa akan datang subjek major dan pengayaan diri Muzik Tradisional ini diasingkan.

Ini kerana ada ketika pensyarah menerangkan sesuatu berkaitan muzik seperti not-not dan sebagainya hanya pelajar muzik sahaja yang faham. Mungkin mereka telah biasa dengan perkataan tersebut dan telah mempelajarinya. Berlainan dengan saya dan beberapa rakan lain yang bukan daripada Major Muzik ada ketika terpinga-pinga dengan penerangan pensyarah.

Jika mahu bertanya dengan lebih lanjut apa yang kurang difahami itu saya sedikit berasa rendah diri dan mungkin mengganggu kuliah yang akan diajarkan pensyarah. Faktor masa juga mempengahruhi saya untuk bertanya dengan lebih lanjut.

Untuk pembentangan kumpulan pula keseluruhan adalah baik bagi saya. Cadangan pensyarah untuk merakam setiap pembentangan adalah satu idea yang baik kerana kami akan lebih yakin dan bersungguh untuk membuat pembentangan. Sedikit sebanyak setelah melihat sendiri cara dan gaya pembentangan yang dibuat, kami dapat mengubah dan memperbaiki kelemahan sewaktu berada di hadapan orang lain.

Walau bagaimanapun, saya agak terkilan kerana ada sesetengah kumpulan yang kurang menepati masa yang ditetapkan. Ada kalanya terlebih masa yang di hadkan. Kelas kami adalah bermula pada jam 11 am hingga 1 pm. Ada kumpulan mengambil masa sehingga melebihi jam 1 pm. Pada pelajar yang tidak mempunyai kelas pada masa seterusnya mungkin mereka tidak mempunyai masalah. Namun bagi saya dan beberapa rakan lain agak menyukarkan kami. Ini kerana kami terpaksa berjalan jauh untuk ke kelas seterusnya.

Walaupun kelas kami bermula pada jam 2 pm, masa yang satu jam itulah kami berkejar-kejar untuk solat dan makan tengahari. Ada kalanya saya terlewat untuk masuk ke kelas jam 2 pm.

Secara keseluruhannya, saya amat beruntung kerana dapat mengambil subjek ini. Pensyarah yang mesra membuat saya tidak bosan untuk ke kelas. Sedikit kekurangan dan kritikan saya bukanlah menyatakan keburukan pensyarah dan subjek ini. Tetapi ikhlas memberikan pandangan dan bagi memperbaiki kekurangan pada masa akan datang.

Sekian sahaja..
Teruskan Membaca...

JURNAL REFLEKSI: MINGGU 13


Assalamualaikum wbt

Minggu ke-13 ini kami telah mempelajari berkenaan dengan tarian singa.

Tarian singa adalah sebahagian daripada tarian tradisional dalam adat warisan masyarakat Cina, yang mana penari akan meniru pergerakan singa dengan menggunakan kostum singa.

Sejarah singa dianggap sebagai pelindung dalam kebanyakan adat orang Asia, terutamanya bagi mereka yang berketurunan orang Cina. Tarian singa menjadi adat di negara China,Taiwan, Jepun, Korea, Thailand, dan Vietnam. Setiap negara tersebut mempunyai corak dan bentuk tarian yang berbeza.

Dua tarian singa yang amat popular ialah "Tarian Singa Utara" dan "Tarian Singa Selatan".

Tarian Singa Utara adalah berasal dari bahagian utara China yang menggunakan tarian ini sebagai hiburan diraja. Kostum singa mereka menggunakan warna merah, jingga dan kuning (hijau bagi kostum singa betina). Tarian Singa Utara adalah lebih banyak pergerakan akrobatik dan bertujuan sebagai hiburan.

Tarian Singa Selatan lebih membawa perlambangan alam sekitar. Tarian ini selalu dipersembahkan sebagai istiadat upacara membuang semangat jahat dan upacara meminta tuah. Tarian Singa Selatan menggunakan pelbagai warna dan kepala kostum mempunyai mata yang lebih besar daripada Singa Utara, dan mempunyai cermin serta sebatang tanduk di hadapan kepalanya.
Teruskan Membaca...

Sunday, October 24, 2010

JURNAL REFLEKSI: MINGGU KE-12

ASSALAMUALAIKUM WBT dan SALAM SEJAHTERA

Sedar tidak sedar sudah 12 minggu kita di kuliah muzik tradisional ini. Pada minggu ke 12 ini tajuk pembelajaran ialah mengenai Gendang 24 Musim.

Agak pelik dan jarang saya dengar. Ini adalah pertama kali saye mendengar mengenai seni tradisi ini. Mungkin sebelum ini saya pernah melihat tetapi tidak pernah pula untuk mengambil tahu apa nama dan bagaimana ianya bermula. Kuliah pada kali ini telah membuka peluang kepada saya untuk mendekati seni muzik ini.

Seni muzik ini bermula di Malaysia. Pengasasnya berketutunana Cina iaitu Encik Chen Wei Chong berasal dari Johor. Ilham penghasilan seni ini adalah berasaskan satu musim pertanian di negara China. Musim utama iaitu Panas, Sejuk, Luruh dan Bunga dipecahkan kepada 24 bahagian lain.

Para pemaian adalah terdiri daripada lelaki sahaja. Setakat ini tiada lagi pemain wanita yang menceburi bidang ini. Mereka akan memakai kostum lelaki Cina.

24 buah drum digunakan dikenali dengan nama gendang shigu yang digunakan dalam tarian singa. Gendang diperbuat dari kulit kerbau atau lembu.

Dalam seni ini konsep Ji Qie diterapkan dalam seni muzik ini.

Kini, terdapat lebih dari 100 pasukan Gendang 24 musim di Malaysia. Mereka terdiri daripada pelajar sekolah rendah, menengah dan institut pengajian tinggi. Pada 16 September 2007, Gendang 24 musim membuat permohonan kepada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan agar menyenaraikan persembahan seni baru ini sebagai khazanah warisan budaya negara.
Teruskan Membaca...

Monday, October 11, 2010

JURNAL REFLEKSI: MINGGU 11


Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

Minggu ke 11 ini kami tibalah masa pembentangan kumpulan bertajuk Wayang Kulit. Sebelum pembentangan bermula, kumpulan pembentang telah berjaya menarik perhatian kami semua dengan mempersembahkan demo wayang kulit dimainkan. Kami berasa sangat bertuah kerana diberikan peluang untuk menyaksikan persembahan tersebut. Ini adalah pertama kali bagi saya untuk menyaksikan bagaimana wayang kulit dimainkan. Sangat menarik dan lucu persembahan yang ditunjukkan. Bukan saya sahaja malah saya yakin masih ramai rakan-rakan sekelas lain yang buat pertama kali baru menyaksikan persembahan wayang kulit tersebut.

Terdapat pelbagai jenis wayang kulit yang masing-masing mempunyai perbezaan dari segi watak dan rupa patung. Wayang kulit terdapat di beberapa negeri di Malaysia yang kesemuanya berbeza. Wayang kulit tersebut juga mencerminkan budaya masyarakat tersebut.

Jenis-jenis wayang kulit:

i) Wayang Kelantan (disampaikan dalam bahasa Melayu loghat
Kelantan dan berasas kepada pengaruh Patani).
ii) Wayang Melayu (disampaikan dalam bahasa Melayu berpengaruh
Jawa)
iii) Wayang Purwo (disampaikan dalam dalam bahasa Jawa dan diselit
dengan dengan bahasa Melayu tempatan).
iv) Wayang Gedek (lazimnya disampaikan dalam bahasa Thai dan
bahasa Melayu loghat tempatan).

Pada asasnya kesemua bentuk atau jenis wayang kulit yang terdapat di Semenanjung Malaysia mempunyai pengaruh-pengaruh samada dari Jawa atau Patani (Selatan Thai) tetapi dalam perkembangannya semua pengaruh ini telah mengalami perubahan dan penyesuaian mengikut penerimaan dan konteks masyarakat tempatan.

Terdapat 3 perbezaan yang terdapat dalam wayang kulit iaitu dari segi bentuk patung, muzik wayang kulit dan dalang. Patung dari jenis wayang kulit yang berpengaruh Jawa mempunyai kedua sendi tangan dan dapat digerakkan tetapi pada patung wayang kulit Kelantan hanya sendi sebelah hadapan patung itu sahaja yang digerakkan. Wayang Kelantan dan wayang gedek adalah diiringi oleh satu kumpulan muzik paluan dan sebatang serunai. Wayang Melayu pula diiringi oleh kumpulan muzik paluan tradisional dan rebab manakala wayang purwo diiringi oleh satu kumpulan gamelan. Semua dalang dalam setiap jenis persembahan wayang kulit adalah dibantu
oleh dua orang yang dipanggil pengantin melainkan dalam wayang gedek.


Teruskan Membaca...

Thursday, September 30, 2010

JURNAL REFLEKSI: MINGGU 10


ASSALAMUALAIKUM DAN SELAMAT HARI RAYA..

Kuliah masih diteruskan walaupun dalam suasana raya lagi. Tidak mengapa kerana saya dan rakan-rakan masih bersemangat untuk ke kelas Muzik Tradisional setiap hari Rabu ini.

Apa yang lebih penting yang saya mahu kongsikan ialah berkenaan dengan pembentangan pada minggu ini. "Orkestra Cina Moden" (OCM). Ya, itulah tajuk pembentangan kumpulan minggu ini. Agak menarik kerana saya sebagai pelajar berbangsa Melayu teruja untuk menyelami seni muzik bangsa lain. Maklum sahaja kita hidup dalam satu negara yang berbilang bangsa dan agama tetapi dikukuhkan dengan 1 Malaysia.


Terdapat satu alat muzik Cina yang telah lama wujud dikenali sebagai 'Jiahu'. Ianya diperbuat daripada tulang binatang. Masyarakat Cina percaya bunyi yang harmoni merupakan keselarasan alam semesta.

Akibat terpengaruh dengan muzik Eropah iaitu melalui Orkestra Simfoni dan Konsert Opera Barat maka telah wujudlah pula Orkestra Cina Moden ini. Muzik kontemporari popular Cina merupakan hasil perpaduan muzik tradisional Cina dengan muzik popular.

OCM ini terkenal di Singapura. Dari segi alat muzik, Banyak alat muzik Cina yang telah diubahsuai daripada alat muzik tradisional seperti 'Diyinsheng' (Sheng bass besar) dan 'Zhongyin' (alto) serta 'Suona'.Untuk Orkestra Cina, perkusi adalah istilah yang merujuk kepada campuran alat muzik Barat dan China. Kebanyakan alat muzik OCM ini dipengahruhi dari Barat.



OCMM atau hua yue tuan di Malaysia telah didokumentasikan oleh Tan Sooi Beng (1983). Seperti di China, orkestra ini dibuat dari campuran alat muzik Barat dan alat muzik tradisional Cina. Muziknya menggabungkan unsur polifoni barat dengan 'scale' melodi China.


Teruskan Membaca...

Friday, September 24, 2010

JURNAL REFLEKSI: MINGGU 9


ASSALAMUALAIKUM WBT

Kuliah minggu ke 9 ini lain daripada kuliah sebelumnya. Pada permulaan kuliah, kami telah berpeluang untuk menyaksikan demo daripada Dekan Fakulti Muzik sendiri yang mengetuai persembahan tersebut. Sangat menarik apabila saya telah berpeluang menyaksikan alat muzik tradisional yang begitu asing bagi saya dimainkan. Pelbagai alat yang dimainkan tetapi alat muzik rebab yang saya berasa tidak sabar untuk mereka persembahkan.

Persembahan yang dibuat selama lebih satu jam. Dekan Fakulti Muzik kemudian telah menceritakan pengalamannya sewaktu membuat lawatan dan persembahan di beberapa buah negara seperti Singapura dan Beijing. Saya tidak sangka bahawa seni muzik tradisional ini boleh mendapat tempat hinggakan ke luar negara. Sungguh membanggakan kerana saya adalah salah seorang pelajar yang telah mengikuti subjek seni muzik tradisional walaupun hanya subjek pengayaan diri sahaja.

Saya telah memasang angan-angan sekiranya saya diberikan peluang untuk menceburkan diri lebih cenderung dalam mempelajari seni muzik dan bagaimana alat-alat muzik tradisional dimainkan. Saya harap ssuatu hari nanti saya juga boleh bersama-sama dan mungkin menjadi salah seorang wakil Malaysia membuat persembahan yang membawa seni muzik tradisional di serata dunia.

Pembentangan pada minggu ini ialah berkaitan dengan Mak Yong. Walaupun saya agak kurang faham dengan penyampaian salah seorang pembentang, namun saya berasa kagum dengan kesungguhan mereka. Semua ahli pembentang adalah terdiri daripada kaum Cina. Berlaku sedikit masalah komunikasi penyampaian mereka. Namun semua itu tidak menjadi penghalang.





Saya ingin mengucapkan TAHNIAH kepada ahli pembentang kerana walaupun mereka adalah berbangsa Cina dan bumiputera, namun mereka berani untuk menyahut cabaran melaksanakan tugasan yang diamanahkan. Tajuk tugasan mereka ialah berkaitan dengan Mak Yong yang kebiasaanya seni ini dimainakan oleh orang-orang Melayu.

Bagi menarik perhatian dan tumpuan rakan sekelas, ahli pembentang telah memberi peluang kepada kami untuk melakukan sendiri demo bagaimana tarian mengadap rebab dimainkan. Satu peluang dan pengalaman berharga bagi kami semua kerana dapat mengiramakan sendiri bagaimana persembahan permulaan Mak Yong dimainkan.

Sama seperti seni tradisional lain, Mak Yong telah mengalami pembaharuan mengikut arus kemodenan. Dari segi pakaian Mak Yong telah mengalami perubahan mengikut fesyen moden.

Dari segi alat muzik pula, rebab memainkan peranan penting dan sangat dihormati. Ini dapat dibuktikan apabila permulaan tarian adalah dengan menghadap rebab.

Irama Mak Yong adalah mengikut gongngan iaitu gendang anak dan ibu. Hampir semua rentak muzik Mak Yong bertempo agak perlahan.
Teruskan Membaca...

Friday, September 10, 2010

Teruskan Membaca...
 

Blok Pelajar Kumpulan A

Blok Pelajar Kumpulan B

Blok Pelajar Kumpulan C

SMT2252 NURSUHADAH Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template