Wednesday, August 25, 2010

JURNAL REFLEKSI: MINGGU 7

Assalamualaikum wbt dan Salam sejahtera semua.. =)


Pada minggu ke-7 Rabu, 25 hb Ogos 2010 bertempat di bilik kuliah Fakulti Muzik, maka tibalah giliran kumpulan kami untuk melakukan pembentangan. Tajuk yang telah diamanahkan kepada kumpulan kami ialah berkaitan dengan Kuda Kepang. Alhamdulillah syukur kepada Tuhan kerana kumpulan kami dapat melaksanakan tugasan yang telah dipertanggungjawabkan dengan baik. Lega rasanya setelah selesai menyiapkan tugasan. Perasaan gembira juga wujud kerana sedikit sebanyak kami sekumpulan dapat berkongsi ilmu dengan rakan-rakan lain berkaitan hasil kajian yang telah kami lakukan.


Gambar 1: Ketua kuda kepang berwarna hitam


Pembentangan kumpulan pertama ialah bertajuk Keroncong. Istilah 'Keroncong' itu sendiri membawa maksud yang pelbagai. Namun apa yang mahu dijelaskan pada pembentangan kumpulan satu ini ialah muzik keroncong.


Pada permulaan pembentangan pertama, kumpulan ini telah menceritakan serba sedikit berkenaan dengan sejarah keroncong. Muzik keroncong telah dibawa oleh orang Portugis sewaktu penjajahan yang dilakukan di Asia Tenggara. Keroncong telah muncul hasil daripada gabungan gamelan oleh masyarakat Jawa dan alat muzik Barat. Manakala di Malaysia, muzik keroncong mula masuk pada

Gamelan degung merupakan degung dilihat hampir sama dengan muzik keroncong kerana beberapa aspek yang hampir sama. Yang membezakannya ialah muzik degung mempunyai cara yang teratur dan jarang berubah. Berlainan dengan keroncong di mana pemain bebas mengubahnya.

Video 1: Muzik Keroncong

~Selesai satu tugasan~ =)






Teruskan Membaca...

Wednesday, August 18, 2010

JURNAL REFLEKSI : MINGGU 6


Salam Ramadhan dan salam sejahtera kepada semua =)

Kuliah pada minggu ini adalah berkaitan dengan Mak Yung dan Kompang. Seni Mak Yung begitu asing bagi saya dan saya agak kurang berminat dengannya jika dibandingkan dengan kompang yang rata-rata semua orang akan mengenalinya.


~Mak Yung~


Gambar 1 : Penari Mak Yong


Walaupun Mak Yung merupakan satu seni muzik tradisional, namun kesenian ini adalah satu-satunya yang di iktiraf oleh UNESCO. Penghargaan ini adalah satu penghormatan yang besar kepada seni warisan tradisional. Terima kasih kepada UNESCO kerana keprihatinan mereka dalam menghargai seni muzik tradisional.

Jika dilihat secara kasar, seni Mak Yung yang berasal daripada Patani ini adalah sama seperti Menora, Mekmulung dan Jikey. Hal ini adalah kerana ianya tergolong dalam satu kategori yang sama iaitu seni lakon. Walaupun dilihat agak sama tetapi apa yang membezakannya adalah berdasarkan kepada identiti dan keperluan dramatik yang dimilikinya. Dalam persembahan Mak Yung, bentuk seni lakon yang digunakan adalah sangat kuno kerana masih mengekalkan lagenda dan mitos.

Kesenian ini semakin popular dan tersebar luas termasuklah Semenanjung Malaysia dan kawasan sekitarnya. Mak Yung dipersembahkan bukan sahaja sebagai tujuan persembahan malahan untuk tujuan ritual bagi penyembuhan penyakit dan persembahan sebagai sembah guru. Perbezaan yang dapat dilihat antara tujuan persembahan dan ritual adalah dari segi pentas persembahan.

  • Ritual~ Aras panggung sama dengan tanah ( Tiada pentas)
  • Persembahan ~ Lantai panggung beberapa kaki dari atas tanah

Cerita asal Mak Yung bertajuk Dewa Muda yang merupakan satu cerita rakyat. Menjelang abad ke-20 peranan utama diambil alih oleh wanita. Terdapat beberapa watak dalam Mak Yung iaitu:

  • Pak Yung dan Pakyung Muda (Watak Utama)
  • Mak Yung dan Puteri Mak Yung (Raja perempuan)
  • Peran Tua dan Peran Muda (Pengasuh)
  • Tok Wak (ahli nujum dan tukang)

Rebab merupakan satu alat muzik yang penting dalam Mak Yung kerana bukan sahaja fungsinya sebagai alat muzik malahan merupakan semangat bagi seni ini. Perhormatan terhadap rebab boleh dilihat apabila lagu Mak Yung akan menghadap rebab sebagai simbol penghormatan terlebih dahulu. Selain rebab, terdapat juga alatan lain seperti sepasang gendang, tetawak dan rebab 3 tali disamping dengan alatan sampingan seperti serunai, geduk dan canai.

Bentuk dalam pengalunan lagu Mak Yung akan ditentukan oleh sistem gongan yang dikawal oleh tetawak. Manakala iramanya pula adalah secara meningkah. Hampir keseluruhan lagu Mak Yung bertempo perlahan.

~Kompang~

Gambar 2 : Kompang


Alatan yang hampir sama dengan hadrah ini dikatakan berasal daripada Arab di Asia Barat. Terdapat pelbagai panggilan untuk kompang seperti Dufuf, Daf, Duf, Tar atau Bendir. Manakala di Indonesia ianya dikenali sebagai terbang atau rebana. Terdapat pelbagai fungsi kompang. Kebiasaanya kompang akan dimainkan dalam acara perkahwinan khususnya orang Melayu. Seni kompang semakin mendapat tempat apabila dimainkan bagi tujuan menyambut pemimpin terhormat.

Lagu yang dimainkan kebiasaanya akn mengikut negara asalnya iaitu Bahasa Arab. Sebagai contoh Selawat Memuji Rasullullah saw. Permainan ini tersebar daripada peranan pedagang yang berdagang ke Nusantara dan akhirnya sampai ke Tanah Melayu akibat berlakunya imigrasi daripada Jawa.


Adat permainan kompang sangat dititik beratkan. Antara adatnya ialah:

  • Pakaian
  • Tidak boleh mentelentangkan kompang
  • Tidak boleh melambung kompang
  • Tidak boleh meletakkan muka kompang ke lantai

Terdapat dua struktur dalam alat ini iaitu belulang yang diperbuat daripada kulit kambing betina dan juga belulalang paluh dari kayu nangka. Saye tertanya pada mulanya, "kenapa mesti menggunakan kulit kambing betina? Tidak bolehkan seandainya menggunakan kulit kambing jantan atau lembu"? Persoalan terjawab kerana kulit kambing adalah lebih sesuai dan kulit kambing betina adalah lebih lembut.

Walaupun saya sudah biasa mendengar dan melihat kompang dimainkan, namun masih ada yang tidak saya ketahui dan peka sebenarnya. Jika dihayati, alunan kompang sebenarnya mempunyai pelbagai jenis. Antaranya ialah, kompang.

  • Hadrah
  • Johor/ jawa
  • Eizhar (Selangor)
  • Kelalang (Melaka)

Saiz kompang yang dimainkan adalah mengikut tahap umur. Semakin tinggi umur seseorang semakin besar saiz kompangnya. Saiz yang paling besar ialah 37.5 cm dan 40 cm bagi orang dewasa. Dalam kuliah minggu ini juga saya telah belajar cara memegang kompang yang betul semasa menghasilakn bunti 'pak' dan 'bung'.


Bukan sahaja saiz yang berbeza tetapi cara pukulan juga adalah berbeza. 3 jenis pukulan iaitu:

  • Melalu- memainkan rentak asas
  • Menyilang-rentak silihan kepada rantak melalu
  • Meningkah- penghias rentak antara melalu dan menyilang

Pukulan pertama adalah untuk 'mula', kemudian pukulan 'lagu' dan akhir sekali ialah 'mati' menandakan lagu akan berakhir.

Pada akhir kuliah, sekali lagi pensyarah kami telah memberikan peluang untuk membuat praktikal setelah teori dipelajari. Kali ini kompang menjadi pilihan. Teruja rasanya setelah lama tidak bermain diberikan peluang mencuba. Terima kasih kepada pensyarah tersayang! hehe.. =p




Video 1 : Kompang

~Alunan kompang mengingatkan zaman remajaku =) ~

Teruskan Membaca...

Thursday, August 12, 2010

MINGGU 5 : JURNAL REFLEKSI

ASSALAMUALAIKUM WBT DAN SALAM RAMADHAN =)

Pada kuliah minggu kelima ini, tajuk pembelajaran kami ialah berkaitan Gamelan dan Caklempong. Muzik gamelan sudah menjadi kebiasaan bagi saya namun saya kurang mengetahui berkenaan dengan caklempong. Ini kerana sewaktu zaman persekolahan menengah, sekolah saya mempunyai persatuan gamelan sendiri. Jadi saya pernah mendengar sendiri secara langsung bagaimana gamelan dimainkan. Lagu popular yang dimainkan ialah 'Timang Burung'.

GAMELAN

Perkataan 'gamel' ialah membawa makna pukul atau alat tukul. Sama seperti bagaimana muzik gamelan itu diamainkan secara dilabuh atau dipukul. Sesi permulaan kuliah kami ditayangkan video berkenaan gamelan Bali. Gamelan Bali dimainkan secara terbuka di suatu kawasan. Kebiasaanya muzik gamelan Bali ini akan diturut sertakan dengan acara keagamaan. Kebiasaanya muzik gamelan akan dimainkan bersama dengan wayang kulit Jawa ataupun kuda kepang.

Muzik gamelan ini hanya lengkap dimainkan jika secara ensembel. Walau bagaimanapun, muzik gamelan ini boleh juga dipersembahkan secara tersendiri. Alat gamelan pertama yang telah dicipta ialah gong. Jika dilihat dalam ensembel gamelan itu sendiri, gong merupakan satu alat yang penting bagi mengharmonikan muzik gamelan. Alat muzik yang dibuat daripada perunggu adalah lebih tahan jika dibandingkan dengan lain.

Gamelan merupakan satu seni muzik tradisional yang terkenal di seluruh dunia walaupun sejarah asalnya ialah dari Indonesia. Walaupun terdapat persamaan gamelan Indonesia dengan gamelan daripada negara lain, namun cara penyusunan alat nya adalah lebih kurang sama. Terdapat dua jenis gamelan iaitu Gamelan Melayu dan Gamelan Jawa.

Bagi Gamelan Melayu adalah dikategorikan dalam muzik bentuk tarian utama. Gamelan ini mempunyai nama pelbagai seperti Gamelan Terengganu dan Joget Gamelan. Tarian yang dimaksudkan ialah Tarian Asyik. Gamelan Melayu dan Jawa mula dipisahkan apabila adanya penciptaan lagu baru dan sistem tuning, instrumentasi dan melodi. Set alatan gamelan ini adalah lebih mudah dan mempunyai 7 jenis.




Sama seperti Gamelan Melayu, Gamelan Jawa juga merupakan muzik bentuk tarian utama. Seni muzik ini berasal daripada Jawa Tengah. Muzik Gamelan Jawa ini biasa dimainkan dengan mengiringi tarian seperti Kifrah, Serimpi Lilin, Kupu-kupu dan Cakil. Alat gamelan ini juga boleh dimainkan dengan mengiringi barongan dan kuda kepang. Gamelan Jawa ini adalah popular di Johor. Set alatan muzik gamelan Jawa adalah lebih banyak dan agak kompleks. Kesemuanya mempunyai 9 jenis alatan.





Terdapat beberapa perbezaan antara Gamelan Jawa dan Gamelan Terengganu. Contohnya ialah gong kempol yang dimainkan oleh Gamelan Jawa pada detik kedua pada gatra kedua akhir sebelum gong menghabiskan satu pusingan lagu. Manakala bagi Gamelan Terengganu pula, terdapat sesetengah lagu dimana gong kempol dimainkan pada detik pertama.

Muzik gamelan ini tidak mementingkan notasi dan lagu lama tidak dicatat. Pembelajaran muzik gamelan ini adalah ringkas yang dilakukan secara pendengaran bermula daripada mudah kepada lebih kompleks. Sistem pengunaan nomber atau dikenali 'Sistem Kepatihan' masih digunakan hingga sekarang bagi memudahkan pembelajaran muzik gamelan ini.

Dalam muzik gamelan, ianya memerlukan kerjasama antara setiap pemain alat. Kemahiran muzikal dan teknikal penting dalm pengendalian alatan. Ini kerana tekstur gamelan adalah secara polifoni dan bergerak dalam satu bentuk bulatan.


CAKLEMPONG

Caklempong juga dikenali sebagai tak lempong atau talempong. Muzik ini berasal daripada Minangkabau dan boleh didapati di Daerah Lenggeng, Kuala Pilah dan Jelebu. Caklempong ini terdapat dalam drama tarian randai.

Terdapat 7 jenis alat dimainkan dalam caklempong iaitu:

- Bonang, Gereteh, Tingkah, Sauwa/ Saua, Gendang Ibu dan Anak, Bangsi, dan Serunai.



serunai

Sauwa

Berbanding dengan gamelan, caklempong menggunakan alatan seakan-akan sama fungsinya. Contohnya ialah Bonang, Gereteh, Tingkah dan Sauwa. Gereteh mempunyai dua lapisan.





Pada akhir kuliah minggu ini, kami telah diberikan peluang untuk bermain muzik gamelan. Pembelajaran teori akan lebih berkesan jika kita adanya praktikal. Terima kasih pensyarah kami yang telah membuka peluang pada kami semua untuk mencuba sendiri bagaimana gamelan dimainkan. =)


~Teori + Praktikal = Pembelajaran berkesan~

Teruskan Membaca...

Thursday, August 5, 2010

MINGGU 4: JURNAL REFLEKSI


ASSALAMUALAIKUM DAN SELAMAT SEJAHTERA SEMUA =)

Sedar atau tidak sekarang sudah masuk minggu ke empat kuliah kita. Permulaan kuliah sangat bagus serta dapat menangkap perhatian daripada seluruh kelas. Ini kerana pendekatan bijak pensyarah yang telah memancing perhatian pelajar dengan beberapa video yang menarik bertajuk 'Shadow Land'. Selepas melihat daripada apa yang ditayangkan dapatlah kami membuat kesimpulan tajuk pembelajaran minggu ini ialah 'Wayang Kulit'.

Wayang kulit? Apakah sebenarnya wayang kulit ini? Saya tidak dapat membicarakan lebih lanjut sebelum saya berada dalam kuliah minggu ini. Sepanjang pengalaman saya, saya tidak pernah melihat secara live persembahan wayang kulit. Saya tidak tahu sama ada masih wujudkah lagi wayang kulit ini. Apa yang saya tahu wayang kulit sekadar satu seni warisan tradisional yang tidak membawa kesan menarik pada saya. Jika masih wujud, baguslah dan jika sudah tiada saya tidak merasa satu kerugiaan.

Namun itu hanyalah satu tanggapan dan perasaan saya yang sudah dibuang jauh dari kotak pemikiran saya! Bermulanya kuliah minggu ini saya berasa sangat teruja untuk melihat persembahan wayang kulit jika ada. Saya akan berasa sangat rugi sekiranya saya melepaskan peluang untuk secara langsung melihat dengan mata kepala saya sendiri satu seni tradisional yang sangat berharga ini. Saya amat berharap sekiranya pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris mahu mengadakan persembahan wayang kulit di sini. Mungkin saya adalah salah seorang daripada bakal-bakal guru yang akan berebut-rebut untuk melihat persembahan tersebut.
Seandainya pihak universiti dapat merealisasikan hasrat saya ini, saya percaya ini akan memberikan satu pengalaman dan ilmu baru kepada bakal-bakal guru yang akan menjadi pendidik di sekolah nanti.

Objektif kuliah pada minggu ini adalah jenis wayang kulit, alat-alat muzik wayang kulit dan perbezaan wayang kulit. Sewaktu melihat objektif ketiga kuliah iaitu perbezaan, saya terfikir sejenak, "Adakah perbezaan dalam wayang kulit?". Jawapan bagi persoalan saya ini terjawab selepas pensyarah meneruskan kuliahnya. Sememangnya ada perbezaan dalam wayang kulit!
Rasanya jika saya tidak mengambil kursus ini, saya akan menilai tiada perbezaan dalam wayang kulit. Jika dilihat hanya sama sahaja. Melibatkan seorang pencerita disebalik layar bersama patung-patung dan cerita rekaannya.

Ternyata saya silap sama sekali. Jadi saya perlu mengemaskini pemikiran baru saya bahawa setiap wayang kulit itu adalah berbeza. Hasil pembelajaran saya ialah sebenarnya terdapat empat jenis wayang kulit yang setiapnya mempunyai perbezaan tersendiri.
Yang pertama ialah wayang kulit jawa ataupun lebih dikenali sebagai purwa. Jika namanya wayang kulit jawa maka mestilah asalnya daripada Indonesia bukan? Walau bagaimanapun, ianya telah dipersembakan oleh orang yang berketurunan Jawa di Johor dan Selangor. Wayang kulit ini masih mengekalkan ciri wayang kulit purwa asli iaitu epik Ramayana dan Mahabrata. Muzik gamelan jawa akan diiringi sewatu persembahannya. Penyampaian cerita walaupun dalam bahasa Jawa namun juga diselitkan dialek Melayu tempatan. Patung-patungnya pula menyerupai seperti wayang kulit Kelantan.

Posisi patung wayang kulit Jawa




Seterusnya 8alah wayang kulit Gedek yang berasal daripada Thailand. Wayang kulit ini popular di Perlis dan Kedah. Terdapat beberapa perbezaan wayang kulit ini dengan wayang kulit Jawa. Patung yang digunakan berlainan dengan wayang kulit lain kerana hanya wayang kulit ini patungnya posisi hadapan.


Posisi muka patung.


Manakala penceritaan nya pula banyak diselitkan babak-babak popular masa kini. Perbezaan ketara ialah penggunaan alatan. Bagi wayang kulit Jawa, mereka menggunakan muzik gamelan yang tidak mempunyai serunai dan geduk. Tetapi untuk wayang kulit Gedek pula alat muzik serunai digunakan. Dengan mendengar penggunaan serunai atau tidak maka kita akan dapat membezakan kedua wayang kulit ini.

Manakala bagi wayang kulit Melayu banyak mempunyai persamaan dengan wayang kulit Purwa ataupun Jawa. Penceritaanya banyak dipengahruhi cerita panji. Dari segi penggunaan alat muzik, rebab dimainkan dalam persembahan wayang kulit ini. Suatu perkara baru yang saya sendiri tidak pernah meneliti ialah pergerakan tangan bagi patung- patung ini. Dari segi pergerakan, tanganya akan digunakan kedua-duanya. Ini berbeza dengan wayang kulit Gedek di mana hanya satu pergerakan tangan sahaja. Jika saya tidak diberitahu oleh pensyarah tentang pergerakan ini, saya sama sekali tidak menyedari perbezaan ini.




Selain daripada itu, kedudukan kepala patung juga memainka peranan terhadap watak patung tersebut. Jika mendongak ke atas dianggap sombong, jika menunduk ke bawah berwatak baik. Manakala jika raut wajah yang bengis adalah watak jahat.


Watak baik


Watak jahat

Watak sombong

Yang terakhir ialah wayang kulit Kelantan. Wayang kulit ini mempunyai persamaan dengan wayang kulit Gedek kerana mempunyai pengaruh daripada Siam. Selain itu pergerakan tanganya juga sama iaitu hanya satu sendi yang digerakkan sahaja.



~Hargai seni warisan kita~

Teruskan Membaca...
 

Blok Pelajar Kumpulan A

Blok Pelajar Kumpulan B

Blok Pelajar Kumpulan C

SMT2252 NURSUHADAH Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template